Monday 1 August 2011

mimpi itu kini realiti

“Julia, tengok ni!” Majalah Remaja keluaran terbaru itu bertukar tangan.  Julia yang terkejut dengan jeritan kecilku sebentar tadi, segera mengarahkan matanya pada halaman majalah yang aku unjukkan kepadanya. Julia kaku, diam membisu. Dia hanya menatap sekilas dan majalah itu bertukar tangan kembali. “Aku tahu la kau suka cerpen dan suka jiwang-jiwang. Tapi itu kan cerpen je. Itu pun nak jerit macam tu sekali,ke? Nasib tak tumpah air panas ni tau. Kalau tak, kurang hantaran aku. Lain la kalau cerpen yang kau buat sendiri dan masuk majalah ni. Ha, baru betul kau nak jerit macam tadi,” Julia kembali menatap Harian  Metro yang dibacanya sebentar tadi, sebelum bacaannya diganggu oleh jeritanku. Sempat lagi dia mencapai sekeping roti dan disuapkan ke mulutnya.
            Air milo panas dalam mug aku tolak ke tepi. Aku masih tidak berputus asa. “Lia, tengok la betul-betul! Ni cerpen yang aku hantar la!” Aku mengunjukkan kembali majalah tadi dan masih membuka halaman yang sama. “Tengok ni! nama aku, la. kau tak percaya lagi, ke?” kami merenung satu sama lain. Seketika kemudian, Julia menarik kembali majalah itu dan kini, dia pula yang terjerit bilamana dia baru perasan namaku tertera di situ, di hujung cerpen yang terpilih bagi bulan ini.
            “Maira, memang cerpen kau ni!” dan kini, Julia yang lebih teruja berbanding aku. Kami sama-sama tersenyum. Perut yang tadinya berkeroncong ,seolah-olah sudah kenyang dengan berita ini. Mujur, tergerak hati aku untuk membeli majalah ini sewaktu keluar membeli barang keperluan semalam.Kalau tidak, pasti aku tidak akan tahu yang karyaku terpilih jua akhirnya. Dan hari itu, senyumku tak lekang dari bibir walaupun kuliahku sehari suntuk dan selama ini membosankan, jadi seronok dibuatnya.
                          *********************************************
“Awak ni Humairah, ke?”satu sapaan singgah di cuping telingaku sewaktu aku sedang minum di kafe kampus bersama Julia seminggu kemudian. Terkejut aku dibuatnya.Dan bilamana aku mendongak untuk mengetahui siapakah gerangannya yang bertanya, sekali lagi aku terkejut. Rasa-rasanya, aku tidak pernah kenal lelaki ini dan tidak pernah berjumpa dengannya.Tapi, bagaimana dia tahu namaku dan bisa mencari aku di sini?
“Awak ni Humairah Syarfa’ bt Abdul Hakim, kan?” soalnya lagi sekali setelah aku berdiam diri. Dan kali ini, nama penuhku pula yang disebutnya! “Ya saya. tapi, siapa awak? saya tak kenal awak. awak nak apa?” pelik betul orang zaman sekarang ni. aku tak pernah jumpa dia pun, tapi dia boleh kenal aku. Keturunan nujum pak belalang kot?
“Boleh kita bercakap sekejap? Saya ada hal penting yang nak dibincangkan dengan awak!”ujarnya tegas dan tanpa secebis senyuman. Wajahnya tetap tegang seperti tadi. ‘mak dia beranakkan dia masa bulan tengah mengambang agaknya. nak senyum pun susah. eh, kalau bulan mengambang, mesti la sentiasa tersenyum. sah, ni mesti lahir masa bulan gelap ni. hehehe..’ aku bermonolog sendiri. Dan tanpa sedar, ada segaris senyuman di hujung bibirku. Namun, seketika kemudian senyumanku terhenti tatkala aku disiku oleh Julia. aku merenung Julia, mencari kepastian. tapi ternyata, Julia sendiri hanya menjungkit bahu, tanda tidak tahu apa yang berlaku dan siapakah lelaki yang berdiri di hadapan kami ketika ini.
“bercakap? pasal apa? saya tak kenal awak pun. macam mana pulak tiba-tiba awak boleh jumpa saya kat sini dan tahu nama penuh saya?” akhirnya aku bersuara sambil memandangnya. lelaki itu merenungku tajam. “dan soalan yang sama juga saya nak tanyakan kepada awak. macam mana awak boleh kenal saya?” aku bingung. perasaanku mula tidak enak. seingat aku, aku tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan bercakap dengan mana-mana lelaki sekalipun. dan kini, berdirinya seorang lelaki yang tidak aku kenali, bertanyakan soalan yang sama kepadaku.
“saya tak kenal awak, saudara. saya rasa, kita tak pernah jumpa pun. kenapa pulak awak boleh cakap yang saya kenal awak? awak ni waras ke,tak?” Aku masih cuba membela diri. “Dan saya sendiri pun pelik, Cik Humairah Syarfa’ bt Abdul Hakim. macam mana awak boleh kenal saya dan dengan beraninya awak gunakan nama saya untuk watak dalam cerpen awak ni?” lelaki itu menghempaskan sebuah majalah yang sedari tadi dipegangnya ke atas meja kami. terkejut aku dan Julia dibuatnya.
            Lantas, kucapai majalah itu. eh,ini majalah remaja keluaran bulan ni. cerpen bulan ni, memang cerpen aku yang terpilih. mana ada cerpen yang lain lagi. aduh! “sayalah Adam Baizid yang awak maksudkan dalam cerpen awak ni. pandai awak ya, gunakan nama saya sesuka hati awak. bila masanya saya izinkan awak guna nama saya untuk watak ni? Saya kenal awak pun tidak!” Lelaki ini masih seperti tadi. Garang dan bengis. Tidak tahukah dia untuk cuba senyum sewaktu berkomunikasi dengan orang lain? Harap muka saja hensem, tapi perangai buruk. Nasib la bukan pakwe aku. Huh!
            Kelu lidahku seketika. Tak mungkinlah! mana ada orang kat Malaysia ni, yang namanya Adam Baizid? aku dah check dulu, tapi tak ada. mamat ni nak tipu aku aje, kot? “ini kad pengenalan saya kalau awak tak percaya,” dihulurkan kad pengenalannya kepadaku, seolah-olah dapat membaca apa yang tersirat di fikiranku tika itu. teragak-agak aku mengambilnya dan Julia juga turut sama berdiri di sebelahku, bagi memastikan ianya betul.
“Eh, Maira! betul la nama mamat ni Adam Baizid! maira, tahniah! kau dah jumpa dengan lelaki impian kau selama ni. hensem la dia, Maira. bertuah betul kau eh,” Julia bersuara riang, sedangkan aku mahu tercabut jantung dibuatnya. bagaimana teman baikku ini boleh gembira sedangkan pada aku, jantung ini bakal terhenti berdegup dengan apa yang berlaku di saat ini. alamak!memang betul la mamat ni Adam Baizid! mati aku. apa aku nak buat sekarang? eh, buat apa aku nak takut. Aku mana la tahu nama dia betul-betul ada. aku reka je nama tu sebelum ni. kiranya, bukan salah aku la.
“awak tahu tak, malu saya dibuatnya bila staf-staf saya perli saya kat office. katanya, saya dah ada secret admire dan dah famous satu Malaysia, gara-gara cerpen awak yang langsung tak best ni.mana-mana meeting yang saya pergi, semua orang bercakap pasal saya. kononnya, Pengarah Awana Holdings seorang mamat jiwang! dah jadi mat bunga. rela namanya diabadikan dalam cerpen, biar satu Malaysia tahu. apa alasan awak? awak nak bagitau yang awak tak tau nama ni memang wujud dan akhirnya saya berjaya jejak awak? macam tu?” ujarnya panjang lebar. matanya bulat merenungku. orang yang lalu lalang di sekitar kami, tidak diendahkan. sedang aku, pastinya muka aku sudah merah menahan malu dek serangannya kini.
ek eleh! kenapa pulak dia yang dapat gelaran mat bunga, mamat jiwang? sedangkan ,cerpen tu aku yang buat.huh! dasar lelaki gila. akhirnya, aku yang terpaksa memohon maaf kepadanya atas apa yang terjadi. dan sebagai tanda meminta maaf, aku berjanji akan menolongnya nanti jika dia perlukan bantuan aku. itu sahaja yang mampu aku lakukan agar lelaki ini tidak lagi membuat kecoh di sini.
                       ************************************************
“oleh sebab awak yang masyhurkan nama saya, saya nak buat satu perjanjian dengan awak. dan awak tak dibenarkan untuk berkata tidak bagi perjanjian ini, bagi menebus salah awak terhadap saya.”ucap baizid sewaktu aku diminta untuk berjumpanya di tasik putrajaya hujung minggu berikutnya.
“kenapa pulak? kan saya dah kata, saya tak tahu yang nama awak memang betul-betul ada.kenapa dengan awak ni?” ujarku menandakan yang aku tidak berpuas hati dengan tindakannya. “awak yang menjadi punca masalah ni, dan sekarang awak jugalah yang harus selesaikannya. lagipun, awak sendiri dah berjanji yang awak akan tolong saya bila saya perlukan pertolongan awak bagi menebus salah awak terhadap saya dua minggu lepas.”
ah, malas rasanya aku mahu bertekak dengan lelaki ini. aku mengeluh. aku sendiri telah terjerat dengan kata-kataku dulu. aduh! “ok, ok. perjanjian apa?” aku merenungnya kembali. Baizid kini berdiri mengadap aku. anak matanya tepat menikam seraut wajah bujur sireh milikku yang langsung tidak berbedak. sambil menarik nafas, dia berkata. “saya nak awak kahwin dengan saya dan jadi isteri saya.” buntang mataku dibuatnya “hah! awak gila ke?”.
“kita berkahwin dengan perjanjian. saya takkan ganggu hidup awak dan awak takkan ganggu hidup saya selepas kita kahwin nanti.” dia ingat, aku ni anak patung ke apa? sesuka hati dia nak buat perjanjian macam ni. “eh, awak ingat, apa yang awak nak buat ni macam cerita dalam novel-novel kat kedai tu ke? ini realiti la Encik Adam Baizid, bukannya cerita novel.” aku ketawa sinis, tapi hanya seketika kerana dia bijak memangkah kataku. “tapi tak salah kalau cerita rekaan dalam novel kita jadikan realiti,bukan?”
“awak gila,ya? tak pernah ada orang buat macam tu, lah?!” aku tidak mahu mengalah dengan keputusan yang dibuatnya. “so, biarlah kita yang mulakan. tak salah,kan? hujung bulan ni kita kahwin. surat perjanjian semuanya saya dah siapkan. sampai masanya, saya akan lepaskan awak suatu hari nanti.” ujarnya sambil ingin berlalu pergi dari situ. baru beberapa langkah, aku menahannya. hal ini masih belum tamat perbincangannya.
“tapi kenapa? untuk apa perkahwinan yang hanya sah di atas sekeping kertas sahaja? apa maksud awak yang sebenarnya?” ujarku meminta pengertian. “saya tak nak terima pilihan mama saya. calon yang dipilih oleh mama, semuanya teruk-teruk. pakaian terdedah sana, terdedah sini, pergi clubbing, disko, minum arak,tidur dengan lelaki. awak ingat, saya nak kahwin ke dengan perempuan jenis macam tu?”
“habis tu, kenapa awak pilih saya? awak ingat saya bertudung,belajar di uia, saya ni perempuan baik, la?itu maksud awak?” baizid mengangguk. “eh awak. tak semestinya saya bertudung, belajar di uia, saya ni baik. mana la tau kot-kot saya ni lagi teruk dari perempuan yang awak cakapkan tu. awak bukannya tahu apa aktiviti harian saya selama ni.” provokku lagi kepadanya.
“sekurang-kurangnya saya dah intip pergerakan awak beberapa hari ni dan saya pasti, awak bukan perempuan jenis yang suka berpeleseran tak tentu pasal. lagipun, kalau awak kahwin dengan saya, awak tak akan digangu lagi oleh Haikal ,lelaki yang tergila-gilakan awak tu dan lelaki yang hampir-hampir cuba nak perkosa awak tu. awak lagi selamat berada disamping saya dan hidup awak juga lebih senang nanti. sekurang-kurangnya, saya dah ada syarikat sendiri kalau nak dibandingkan dengan Haikal yang masih belajar lagi tu.”
aku terkejut. dari mana dia tahu semua itu? dan lebih memeranjatkan aku lagi,dari mana dia tahu bahawa Haikal hampir memperkosaku?  ah,buntu fikiranku! apa yang perlu aku lakukan sekarang? kalau aku setuju, apa alasan terbaik yang dapat aku berikan untuk ibu dan ayahku nanti di kampung? tidakkah ianya bakal mengundang fitnah dengan tindakan drastikku ini? lebih-lebih lagi, aku masih belajar walaupun sudah berada pada tahun akhir pengajian. dan jika aku tidak setuju, haikal sudah tentunya akan terus mengganggu aku dan aku bimbang nyawaku dalam bahaya kelak. Tuhan, berilah aku petunjuk-Mu!
dan akhirnya, hujung bulan itu, aku sah bergelar isteri kepada Adam Baizid dengan sekali lafaz sahaja. kenduri yang diadakan besar-besaran kerana kami masing-masing anak tunggal. dan, segala belanja majlis di pihakku, dia yang mengeluarkan modal. satu sen pun tidak disentuhnya duitku.
5 bulan telah berlalu sejak kami hidup sebagai suami isteri. pada mulanya,agak kekok kurasakan. namun, dengan bantuan baizid, sedikit sebanyak aku dapat menyesuaikan diri di rumah mertua dan ibu bapanya dapat menerimaku seadanya. walaupun pada awalnya, perkahwinan kami dihalang oleh mamanya, tapi ternyata, sikapku yang sering mengalah dalam segala hal dan sentiasa bersama mereka, membuatkan mereka menyayangi aku seadanya. tambahan pula, bakatku dalam memasak memudahkan lagi aku menambat hati mertuaku.
malah, antara aku dan baizid juga, jarang sekali saat ini kami bergaduh. biasanya, di awal usia perkahwinan kami dulu, ada sahaja yang kami gaduhkan ,dan semuanya serba tidak kena. tapi, lama-kelamaan, aku sudah terbiasa dengan sikap dan perangainya. malah saban hari, aku merasakan sesuatu yang aneh wujud dalam hati aku. satu perasaan yang sukar untukku tafsirkan. masih aku ingat bulan lalu, sewaktu aku demam panas dan terpaksa ditahan di wad, baizid tidak putus-putus menjaga aku siang dan malam. dia yang setia melayan kerenahku sewaktu aku terlantar di hospital ketika itu. dan sikap prihatinnya itu tetap ditunjukkannya biarpun aku sudah sembuh dan sudah pulang ke rumah.
            dan kini, dapat aku rasakan yang kami saling menyayangi. walau perkataan sayang itu tidak pernah terluah, tetapi cukup dengan bahasa badan, aku tahu, kami sama-sama memikirkan hal yg sama. dan dapat aku rasakan kini, yang aku sudah mula menyayanginya.
                       ***********************************************
“kita akan ke Old Trafford Manchester, lusa. kan Maira suka tengok bola? Manchester United, kan?” ujarnya menjawab pertanyaanku bilamana dia mengunjukkan tiket ke London yang akan berlepas lusa sebaik pulang dari pejabat lewat peang itu. aku terkejut. memang dia tahu yang selama ini aku sukakan sukan bola sepak dan aku amat meminati kelab Manchester united. Cuma, yang menjadi persoalan kepadaku kini, mengapa dia sanggup menghabiskan wang yang banyak untuk membawaku ke sana?
Lama aku terdiam dan masih merenung tepat tiket itu. tanpa aku duga, Baizid menggenggam tanganku erat dan kini, mata kami saling berpadu.  “awak packing barang, ya. kita akan pergi lusa. mama dan papa saya dah bagitahu. ada hal penting yang saya nak bincang dengan awak nanti.” ujar Baizid sambil tangannya ligat meleraikan ikatan tali leher.  “hal penting? hal apa? kenapa kita tak bincang kat sini,aja? kenapa harus pergi sana?” aku masih tidak berpuas hati. bukan bermakna aku tidak gembira dengan hadiah pemberiannya ini, tetapi sedikit keraguan bermain dibenakku tika ini.
“saya nak awak gembira dulu bila kat sana nanti. bila awak dah tengok pasukan yang awak minat kat depan mata, lepas tu barulah kita bincang hal kita ni.masa tu saya rasa saya dah cukup bersedia untuk luahkannya. Muktamad. Saya tak nak terima jawapan tidak dari mulut awak.” ucap Baizid sambil mencapai tuala, lantas kakinya diarah ke bilik air. Dan tinggallah aku yang masih kaku di situ, cuba mencari apakah maksud di sebalik hadiah mahal ini.
                            *****************************************
Sepanjang penerbangan ke London, hatiku dipagut kebimbangan. Apakah hal yang begitu penting, sehinggakan dia tidak ingin membincangkannya di Malaysia sahaja? Apakah ini berkaitan dengan perkahwinan kami? Adakah masanya sudah tiba untuk dia lepaskan aku? Fikiranku ligat berputar walaupun kini aku disisinya menonton perlawanan Manchester United menentang Liverpool di Stadium Old Trafford esok harinya. Riuh rendah suara sorakan dari peminat-peminat kelab masing-masing langsung tidak aku hiraukan.Aku berada dalam kelompok ramai orang, tetapi disaat ini, aku merasakan seolah-olah hanya aku seorang di sini menanti diberi hukuman. Sedangkan Baizid kulihat begitu seronok dengan perlawanan bola sepak ketika ini.
“Maira, sudah tiba masanya untuk kita bincangkan tentang perkahwinan kita. Walau apa cara sekalipun, kita mesti selesaikannya sebelum kita balik ke Malaysia minggu depan.” ujar Baizid memulakan bicara antara kami.Ya Allah!Tidak sanggup rasanya untuk aku mendengar kata-katanya lagi selepas itu.Aku hanya tunduk sepanjang makan malam itu, juga meraikan kemenangan 2-0 Manchester United ke atas Liverpool. Steak di pingganku, langsung tidak berusik.
Hatiku berbicara sendiri. Baizid,kenapa awak nak ceraikan saya bila dalam hati saya dah mula berputik perasaan sayang dan cinta saya untuk awak?Kenapa baru kini awak nak lepaskan saya setelah saya dah pun berikan hati saya untuk awak dan sekeping hati milik saya ini, saya kunci rapat dan hanya mengizinkan nama awak dan cinta awak sahaja yang mampu menyentuhnya. Kenapa Baizid?
“Maira, saya dah nekad kali ini. Saya dah buat keputusan.” Kata-katanya terhenti di situ. Aku tetap setia memandangnya dan telah kugagahi sekeping hati ini agar tidak menangisi apa yang bakal diucapkannya nanti. “Humairah Syarfa’ bt abdul hakim. saya; Adam Baizid bin Ahmad, sama sekali tidak akan melepaskan awak dari hidup saya.Kerana kini, saya sedar yang saya cintakan awak dan saya sayangkan awak.Walau pada mulanya perkenalan kita bermula dengan cukup dingin dan alam perkahwinan kita penuh sengketa pada awalnya, tapi lama kelamaan, saya sedar yang awak amat bermakna buat saya dan saya tak mampu untuk hidup tanpa awak di sisi saya.Dan, dengan bersaksikan Old Trafford,sudikah awak menjadi isteri saya yang sebenar-benarnya?”
Aku terkejut.Terpana dengan pengakuannya sebentar tadi.Kerutan jelas terbit di dahiku. Bermimpikah aku?Lama aku terdiam, tanpa sebarang kata.Dia juga begitu.Hanya sepi menemani kami saat ini. Dan akhirnya, aku bersuara jua bagi memastikan apa yang berlaku sebentar tadi, bukanlah khayalanku semata-mata.“Tapi, surat perjanjian tu…” Belum sempat aku menghabiskan ayatku, Baizid memotongnya. “Dah lama Zid buang, Maira. Surat tu dah lama Zid bakar dan hapuskan sebab Zid tak sanggup kehilangan Maira. Zid perlu berterima kasih kepada Julia kerana semua pasal Maira, dia yang bagitahu, termasuk tentang Haikal. Maafkan Zid. Tapi percayalah, Zid dah jatuh cinta dengan Maira. Zid tak sanggup hidup tanpa Maira.”
Aku tersenyum.Tepat jangkaanku selama ini.Ternyata, benar telahanku bahawa Julialah yang memberi segala maklumat diriku kepada Baizid.Dan ternyata,kedatangan kami ke sini, sebenarnya untuk merungkai sebuah persoalan tentang hati yang masing-masing hanya memendam rasa suatu masa dulu.Tanganku digenggam Baizid seeratnya.Tidak cukup dengan kejutan itu, satu lagi kejutan buatku dari Baizid bilamana pihak restoran membawa keluar sebiji kek harijadi untukku,diiringi dengan gesekan biola dari pemain muzik di restoran ekslusif itu. Gara-gara Baizid,aku jadi lupa dengan harijadiku sendiri.Dan kini, sewaktu usiaku genap 25 tahun,aku juga dihadiahkan dengan pengakuan cinta Baizid untukku.Tiada lagi hari yang terindah dan bermakna dalam hidupku selain dari malam itu dan pengakuan cinta Baizid menjadi hadiah yang paling bermakna dalam kamus hidupku.
Fikiranku menerawang, mengingati kembali pengakhiran karya cerpen yang pernah kuhasilkan dulu. Adam Baizid hidup bahagia bersama Arina Wardah.Tetapi kini,itu tidak terjadi. Adam Baizid yang aku ilhamkan dan yang kusangka hanya khayalan, wujud di alam realiti dan telah menjadi milikku buat selamanya.Ternyata, Adam Baizid itu untukku dan aku ditakdirkan untuk menyempurnakan hidup Adam Baizid.
Dan kini, sewaktu kami tiba di bilik penginapan, aku tidak lagi segan silu memeluk Baizid.Pemandangan dari balkoni bilik kami,cukup mempesonakan. Senyuman tidak lekang dari bibirku kini.Adam Baizid, yang dulunya hanyalah watak rekaanku,kini menjadi suamiku dalam erti kata yang sebenar.Kuasa Tuhan,tiada siapa yang bisa menjangkanya. Dan kini,tidur malamku tidak lagi sendiri kerana Adam Baizid disisi, setia menemani. Dan aku tetap bersujud, memohon doa agar hidup kami bahagia hingga ke alam syurga.

titisan tinta berbicara,
 zaila akma

No comments:

Post a Comment