Monday 1 August 2011

bahagia itu milikku

“Tak boleh, awak. Fikiran mereka bukan macam kita. Apa yang mereka fikir, itulah yang mereka mahu. Yang mereka inginkan. Kita orang dewasa. Boleh terima bermacam-macam alasan, tetapi bukan mereka. Mereka masih kanak-kanak.”
Adam Baizid hanya terseyum memandangku. Aku tahu, dalam fikirannya penuh dengan persoalan.
“Pergilah tidur. Tak elok kalau orang nampak kita macam ni. Nanti, lain pula jadinya.”
Jelas kerutan terbit daripada dahinya. “Tapi awak? Awak tak nak tidur?”
Aku tersenyum memandangnya.
“Jangan risau, saya boleh tidur disini. Dengan Faris. Lagipun, saya rasa seronok, tenang, gembira bila dia tidur lena di ribaan saya. Seolah-olah saya ni ibu kandungnya,” tanganku membelai lembut rambut Faris. Aku renung raut wajahnya yang tenang. Dalam. Tentu dia sangat merindui ibunya yang telah meninggal dunia sewaktu melahirkannya.
“Dia dibawa ke sini sejak kecil lagi. Kalau tak salah saya, 3 bulan. Ayahnya baru sahaja meninnggal dunia. Arwah ayah Faris salahkan Faris atas kematian ibunya. Kerana melahirkan Faris, nyawa ibunya yang menjadi galang ganti. Ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.”
Kata-kata yang diucapkan oleh Puan Farah Adiba beberapa bulan lalu, masih jelas di ingatanku. Kata-katanya masih segar dan masih dapat kuingat dengan jelas. Aku jatuh kasih dengan Faris. Bukan salah Faris. Itu semua takdir yang sudah tertulis sejak di lohmahfuz lagi. Anak kecil ini bukan penyebab kematian ibunya. Tidak patut arwah ayahnya mengabaikan Faris.
“Jauh awak berangan? Ingatkan buah hati ke?”
Aku dikejutkan dengan tegurannya. Jauh benar fikiranku melayang. Tapi bukan kerana mengingati buah hati, tetapi kerana fikiranku teringatkan Faris. Anak kecil yang sudah lama lena di ribaanku. Tangan kanannya masih menggenggam erat sebelah lenganku. Cukup erat. Seolah-olah, dia tidak rela aku meninggalkannya walau untuk sesaat.
“Saya Cuma fikirkan Faris,” ucapku perlahan.
“Faris? Kenapa?” Dahinya dikerutkan.
“Tentang masa depannya.” Balasku pendek.
Namun, Adam Baizid hanya mengangguk. Mungkin faham dengan apa yang aku cuba sampaikan. Tangan kanannya sempat membelai rambut Faris. Lantas, dia tunduk mencium dahi anak kecil itu. Aku tersentuh dengan cara layanannya. Jelas, dia turut menyayangi anak ini. Aku masih tertanya-tanya, siapakah dia? Kenapa dia boleh berada di sini? Setahu aku, aku tak pernah melihat wajahnya sebelum ini.
Aku tersedar pagi itu agak lewat. Kira-kira pukul 7 pagi. Terpisat-pisat aku bangun. Faris tiada diribaanku. Ke mana dia menghilang? Aku juga mendapati, aku diselimutkan dan kepalaku beralas bantal.
Aku bangun daripada pembaringan, dan mataku melilau ke sekeliling bilik itu. Semua anak kecil di situ masih lena diulit mimpi. Tapi, Faris sahaja yang tiada di depanku.
“Mama!”
Anak kecil itu berlari ke arahku. Aku tersenyum memandangnya. Sekelip mata sahaja, Faris sudah memelukku. Erat sekali. Tak dapat aku gambarkan perasaan aku ketika ini, apabila anak kecil itu memanggilku mama. Tanpa aku sedar, ada deraian mutiara jernih yang mengalir dari tubir mataku.
“Maaf, saya yang siapkan Faris tadi. Dia terjaga awal, jadi saya yang mandikannya. Saya nampak awak tidur dengan lena, jadi sebab itu saya tak kejutkan awak,” panjang lebar Adam memberi penjelasan. Mungkin dia sedar reaksiku pada mulanya apabila aku terkejut dengan kehadiran Faris yang sudah lengkap berpakaian baru.
“Mama, tadi Faris mandi dengan papa. Faris nak kejutkan mama, tapi papa kata jangan ganggu mama. Biar mama tidur, mama penat. Mama penat jaga Faris,ya?” bibir anak kecil itu peah berkata-kata. Malah, langsung tidak pelat seperti kanak-kanak lain. Dan, aku tambah terkejut dengan panggilannya tadi kepada Adam. ‘Papa?’ adakah Faris yang memandai-mandai memanggilnya papa ataupun memang Adam yang membahasakan dirinya begitu? Ah, pagi-pagi lagi kepala aku sudah penuh berfikir.
Aku tersenyum memandang anak kecil itu.
“Tidak sayang. Mama tak pernah penat menjaga Faris. Mama tak pernah rasa Faris menyusahkan mama. Malah,sejak Faris hadir dalam hidup mama, mama rasa sangat bahagia. Mamalah orang yang paling gembira bila Faris panggil mama, ‘mama’. Mama nak Faris tahu yang mama sayang sangat dengan Faris. Sayang sangat-sangat.” Dahi anak kecil itu aku kucup. Penuh kasih. Dan ,aku ingin dia sedar dan mengerti bahawa aku amat menyayanginya.
Tanpa aku sedar, ada sepasang mata yang galak memerhatikan aku dengan Faris. Aku terlupa. Terlupa bahawa Adam Baizid ada di situ. Malah, dia yang membawa Faris kepadaku tadi. Tanpa diduga, mata kami berpadu. Namun, tiada satu pun ungkapan yang terkeluar dari bibir masing-masing. Hanya mata menjelaskan segalanya. Dan ,akhirnya aku tertunduk malu. Pandanganku yang bersatu dengannya seketika tadi, aku alihkan. Aku tidak sanggup membiarkan ada getar di dalam dada aku. Malah, dapat aku rasakan ketika ini, pipiku membahang menahan rasa malu.
“Mama, kenapa pipi mama merah bila mama pandang papa tadi?” soalan yang tidak diduga dari mulut anak kecil itu memeranjatkan aku. Macam mana anak sekecil itu perasan tingkahku sebentar tadi?
Adam hanya tersenyum memandang kami. Jelas, dia juga turut mendengar apa yang diperkatakan oleh Faris tadi. Aku cuba untuk berlagak setenang mungkin.
“Sayang, muka mama merah tadi sebab mama malu dengan papa. Mama tak mandi lagi ni, tapi Faris dengan papa dah siap mandi. Lepas tu, mama terus peluk Faris, cium Faris. Tentulah mama malu sebab mama tak mandi lagi. Faham, sayang?” aku usap kepalanya. Aku harap dia tidak banyak ragam apabila aku terpaksa menipunya. Ah, tipu sunat!
            dan akhirnya anak kecil itu tidak lagi banyak bertanya. Aku mula merasa rimas. Bukan setakat aku masih belum mandi, namun kerana panahan mata Adam Baizid yang tidak pernah lari dari wajahku. Matanya yang senantiasa memerhati gerak langkahku dengan Faris. Lantas, aku meninggalkan Faris dengannya dan aku meminta izin untuk ke bilikku.
Selesai berpakaian dan bersolek ala kadar, aku keluar kembali. Menjalankan tanggungjawabku sebagai pendidik di situ. Aku gembira di sini. Walau gajinya tidak seberapa, tapi aku tak pernah ambil peduli. Bagiku kasih dan sayang aku tak pernah berbelah bahagi untuk anak-anak yatim di sini. Aku ingin sekali menyayangi mereka dan memberikan mereka jutaan perhatian dan kasih sayang. Kerana, aku tidak ingin mereka kehilangan semua itu dan merasai apa yang pernah aku lalui sebagai anak yatim suatu masa dulu.
2 bulan pantas berlalu. Aku semakin serasi dengan Faris dan tanpa ragu-ragu, akulah mamanya dan aku amat menyayangi anak kecil ini. Cuma, sejak sebulan yang lepas, Adam tidak muncul-muncul lagi. Kali terakhir aku melihatnya sewaktu kami bersama-sama membawa Faris ke Genting Highlands. Adakah aku ada melukakan hatinya? Kenapa sudah lama bayangnya tidak menjelma? Rindukah aku? Ah, tak mungkin aku rindukannya. Aku sedar siapa diriku. Insan yang tidak punya apa-apa untuk dibanggakan. Jauh sekali, untuk merinduinya yang merupakan CEO Awana Global Development. Dengan penjelasan yang diberikan oleh Puan Farah Adiba dulu, aku amat terkejut. Masakan tidak, seorang yang berpangkat besar masih sudi merapati anak-anak yatim ini.
“Mama, kenapa mama termenung? Mama dengar tak apa yang Faris cakap tadi?” suara Faris mematikan lamunanku. Aku terlupa seketika dengan kehadiran anak kecil ini. Lantas, aku meraihnya ke dakapanku dan aku cium pipinya.
“Maafkan mama sayang. Mama tak dengar soalan Faris tadi. Apa yang Faris tanya tadi?” aku senyum kepadanya agar tak terkesan riak masalah di wajahku.
Anak kecil itu merenung tepat ke dalam mataku. Dan tanpa aku duga, di tubir matanya ada mutiara jernih yang bertakung. Belum sempat aku dikejutkan dengan tangisan yang tiba-tiba itu, Faris memelukku erat. Aku terpempan. Ya Allah! Apakah aku telah menyakiti hati anak yatim ini? Ampuni aku, ya Allah. Lama dia memelukku. Akhirnya, dia merungkai pelukan itu dan aku usap pipinya yang basah.
“Sayang, mama minta maaf. Mama tak dengar apa yang Faris tanyakan tadi. Kenapa sayang menangis? Mama minta maaf ya. Mama janji mama takkan buat lagi,” aku mengangkat tangan kananku seolah –olah mengangkat sumpah, agar aku kembali melihat senyumannya.
“Mama fikirkan pasal papa,ya?” aku terkedu. Tergamam dengan soalan anak kecil ini. Ya Allah! Masakan anak sekecil ini mampu membaca apa yang bermain di fkiranku?
“Mama ridukan papa?” soal anak kecil itu lagi bila aku tidak menjawab pertanyaannya sebentar tadi.
“Taklah sayang, mama banyak kerja. Mama fikirkan pasal kerja-kerja mama. Bukannya mama fikirkan papa,” aku berdalih. Berharap, agar anak itu tidak curiga lagi.
“Betul mama tak rindukan papa? Tak sayangkan papa?” Faris terus bertanya dengan soalan yang aku tak punya jawapan untuk diberi.
“Tapi papa rindukan mama. Papa cintakan mama. Dan papa nak kahwin hanya dengan mama.” Satu suara muncul dari belakangku.
Aku terkejut. Terpana. Tergamam. Adam Baizid berdiri di situ. Tepat merenungku. Sejak bilakah dia di situ?
“Tapi papa rindukan mama. Papa cintakan mama. Dan papa nak kahwin hanya dengan mama.” Sekali lagi ayat itu diulangnya. Apakah maksudnya, Ya Allah? Adakah aku bermimpi? Adakah ini hanya sekadar ilusi? atau sememangnya sebuah realiti?
“Saya tak pandai untuk bermadah berpujangga. Saya juga tak reti untuk berpuisi. Saya tak tahu bagaiman caranya untuk memikat wanita. Maafkan saya. Saya Cuma nak tanya awak, sudikah awak menjadi isteri kepada saya dan menjadi ibu untuk anak-anak saya,Arina Wardah?”
Jari jemariku digenggamnya. Erat sekali. Dan aku dapat melihat ketulusan serta keikhlasan dari matanya bilamana ungkapan tadi terucap. Bagaimana untuk aku katakan? Sedangkan, hati aku juga amat menyenangi kehadirannya dan aku juga amat mencintainya dalam diam. Aku masih lagi diam membisu. Tertunduk malu. Tidak tahu bagaimanakah caranya untuk ku menjelaskan.
“Papa, cikgu Faris cakap kalau diam tu tandanya setuju,” Faris tiba-tiba mencelah. Sekali lagi aku tergamam. Aku tersenyum. Anak kecil ini juga akhirnya telah merungkai pertanyaan Adam Baizid sebentar tadi. Senyum kami berpadu dan aku tidak lagi memendam rindu.
“Papa, muka mama merah lagi. Itu pun sebab mama tak mandi lagi, ke?”
Dan matahari terbenam menjadi saksi detik-detik kebahagianku. Terima kasih, Ya Allah kerana akhirnya bahagia itu milikku..


Titsan tinta berbicara,
Zaila Akma

No comments:

Post a Comment