Monday 1 August 2011

terima kasih ADAM


Kepada saudara/saudari,anda diminta untuk menghadiri sesi reunion SMKP 99-03.
Berikut adalah aturcara majlis;
Masa: 8 malam
Tarikh:29 februari 2008
Tempat: Dewan Hotel Sutera Inn
Tema: Bebas
Kerjasama anda adalah diharapkan. Harap maklum. Sekian, terima kasih.

            Untuk yang ke sekian kali, aku masih menatap kad itu. Undangan untuk majlis reunion,dengan kawan-kawan sewaktu di sekolah menengah. Hatiku mula tidak enak. Apakah aku harus pergi? Rindu pada kawan-kawan tak dapat dibendung. Tapi, aku juga tidak mampu untuk menghadapi satu kenyataan lain. Kenangan yang sukar untuk aku lupakan hingga ke hari ini. Walau sudah 5 tahun kami tidak bertemu, namun segala kenangan yang pernah tercipta tidak mungkin akan hilang begitu sahaja.
            Aku letakkan kad tadi di atas katil bercadar merah hati dan kakiku kuarah ke rak yang terletak di penjuru bilik tidurku.Album gambar yang berwarna ungu itu kutatap. Daripada satu helaian ke helaian aku semak. Dan bibirku menguntum senyum apabila aku melihat telatah yang mencuit hati ketika di bangku sekolah dulu. Macam-macam gaya dan kami masih kelihatan seperti kanak-kanak walau umur sudah 17 tahun waktu itu. Mungkin kerana masa kami lebih banyak dihabiskan bersama kerana kami tinggal di sekolah berasrama penuh. Jadi, dunia luar tidak kami ambil tahu. Dan senyumanku terhenti tatkala aku melihat sekeping gambar. Gambar yang membawa seribu pengertian.
            Dan dengan sendirinya, kenangan itu menerjah kotak ingatanku.

***********************************************************************
Cheese!” aku dan Hariz menyebutnya serentak. Sesaat kemudian, flash daripada kamera yang berada di tangan Adam kelihatan. “Am,cantik tak gambar tadi?” aku menyoal Adam kemudiannya. “Wei minah, manalah aku tahu. Nanti esok lusa bila dah cuci, kau tau lah. Apa, kau ingat aku ni magicman ke?” filem tadi sudah digulung. Berhati-hati Adam menyimpannya kembali ke dalam kotak filem.Hariz masih tercegat di tempat tadi. Hanya memerhati. “La, aku tanya je. Kan kau yang ambik gambar kami tadi, mestilah kau tau shoot tu elok ke tak. Itu pun nak hot ke. Eh, bila kau nak cuci gambar tu? Nanti bagi kat aku ek? Aku nak simpan,” mulutku tak henti-henti bercakap sambil tanganku ligat menyimpan sisa makanan kami sebentar tadi. Hari ini harijadi Hariz yang ke-17. 23 Julai. Sudah menjadi kebiasaan untukku menyambut hari lahirnya kerana kami cukup akrab. Walaupun setiap kali harijadiku tiba, kami tidak dapat menyambutnya kerana harijadiku jatuh pada musim cuti sekolah. Namun, aku tidak kisah kerana Hariz tak pernah lupa untuk mengucapkannya kepadaku. Walaupun dia tak pernah menghadiahi aku sesuatu tiap kali harijadiku, tapi aku tak kisah semua itu. Cukup dia mengingatinya.
            “Hujung minggu ni kami keluar, kami cuci. Kau jangan la risau. Nanti aku cuci setiap gambar tu 2 keping.” Aku tersenyum dengan kata-kata yang diucapkan Adam itu. Aku hanya mengangguk dan kembali mengemas meja yang berselerak. Sudah tentu setiap gambar dicuci 2 keping kerana satu untuk aku dan satu lagi untuk simpanan Hariz. 10 minit kemudian,kami berlalu pergi dari Taman Mesra Alam dan menuju ke asrama masing-masing. Aku puas.
           
            “Aku nak gula-gula dua. Ngantuk la,Rin,” aku memandang secebis kertas yang dihulur Hariz kepadaku secara senyap-senyap itu. Bimbang sekiranya cikgu Bahasa Melayu, Puan Yanti perasan. Aku tersenyum memandang wajahnya yang jelas kelihatan mengantuk. Matanya yang kuyu bertambah kuyu lagi. Aku meraba-raba poket baju kurung sekolahku, mencari gula-gula yang sering kubawa dan sering kuberikan kepadanya kerana aku tahu, dia pasti mengantuk dalam kelas. Malah, sudah menjadi kebiasaannya meminta sesuatu daripadaku. Aku menghulurkan 3 biji gula-gula HACKS kepadanya berserta dengan nota kecil. “Muka kau cukup tak hensem bila kau mengantuk. Come on la,Hariz. Jom kita bet. Kalau kau berjaya untuk tak tidur dalam kelas yang berbaki lagi 35 minit ni, aku belanja kau makan tofi-luk kat koperasi. Amacam?”
            Aku melihat Hariz menunjukkan ibu jarinya, tanda dia setuju. Dan ternyata, duit aku melayang lagi hari ini kerana Hariz mahu 3 tofi-luk dan aku hanya mampu berlapar apabila RM1.80 yang kubawa habis di tangannya sahaja. Namun, aku tetap tak kisah kerana aku sayangkannya!

************************************************************************
“Cantik la gambar-gambar ni. Boleh la aku simpan,” satu demi satu gambar yang diambil minggu lepas sewaktu menyambut hari jadi Hariz kutatap. Ternyata, Adam memang pandai mengambil gambar dan tak hairanlah kalau cita-citanya untuk menjadi seorang jurugambar yang berjaya kelak. “Mestilah cantik, aku kan hensem.” Hariz mengangkat keningnya sambil membetulkan bajunya. Aku tahu dia memang seorang yang segak dan sentiasa kelihatan kemas. Sedangkan aku seorang perempuan yang selekeh dan simple. Seorang perempuan yang tak pandai untuk bergaya. Namun, Hariz  tak pernah memandang itu semua dan kami tetap menjadi sahabat baik.

Aku menutup album gambar itu. Tidak sanggup untuk aku melihatnya lagi. Kakiku kuarah ke beranda. Duduk di kerusi malas yang kuletakkan di situ. Pada kad tadi mengatakan yang majlis itu pada 29 februari 2008. Ini bermakna, esok. Malam esok majlis itu akan diadakan. Aku mungkin tidak akan berasa susah hati seperti sekarang untuk ke majlis itu jika tidak kerana perkara itu. Ya, perkara itu. Aku ingat dengan jelas lagi. Seminggu sebelum kami semua akan menduduki peperiksaan SPM.

************************************************************************
“Apa hal kau nak jumpa aku sangat ni? Macam ada hal penting je. Kau ok?” Hariz  bertanya kepadaku sebaik dia sampai ke tempat  yang aku minta dia berjumpaku. Perasaanku bergolak. Perlukah aku mengatakan apa yang telah aku susun berhari-hari lamanya? Perlukah aku melontarkan segala yang terbuku dihatiku selama ni? Aku buntu. Macam mana penerimaannya nanti? Sudikah dia terima aku?
“Belum cuba belum tahu,Rin. Cuba kau bagitau dia dulu perasaan kau. Kalau dia tolak pun, at least kau tau. Kalau kau pendam, dia takkan tau. Manalah tahu kau tak bertepuk sebelah tangan.” Kata-kata Hanie semalam masih aku ingat.
“Rin,apa perkara penting yang kau nak cakap kat aku tadi? Beria-ia nampak?”soalan Hariz untuk kali kedua itu mematikan lamunanku.
“Aku cintakan kau.” 3 perkataan itu terlontar tanpa aku sedari. Bagaimana aku punya kekuatan seperti itu untuk menyatakan kepadanya? Menyatakan apa yang terbuku sejak bertahun lamanya. Namun , itulah kenyataannya.
“Apa yang kau merepek ni?kau sedar ke tidak apa yang kau cakap tadi?”
 “Ya Hariz, aku sedar. Aku cintakan kau. Sejak bertahun lamanya aku pendam perasaan aku terhadap kau. Aku tak punya kekuatan selama ini untuk bagitahu kau tapi hari ini aku dah tak sanggup nak tipu hati aku lagi.” Laju ayat itu meniti dari ulas bibirku. Mataku tepat merenung ke matanya. Jelas, dia tidak selesa dengan apa yang telah aku ucapkan sebentar tadi. “Eh, selama ni kau sendiri yang jadi posmen antara aku dengan Becca tapi sekarang kau cakap kau cintakan aku pulak? Habis, kau nak suruh aku campak Becca ke mana?Dalam kolam tu?”jarinya menuding ke arah kolam buatan yang terletak di belakangku. Aku terkedu. Ya, Becca. Selama ini aku yang menjadi orang tengah antara Hariz dengan Becca.Tapi kini, ah! Aku buntu.
“Aku tak pernah anggap kau lebih dari sorang kawan. Tapi aku tak sangka kau sebaliknya. Come on lah,Rina. Cuba kau cermin diri kau dulu. Layakkah kau nak berdiri disisi aku sebagai teman istimewa aku? Lagipun, aku tak pernah cintakan kau. Aku berkawan dengan kau selama ni pun, tak lebih dari kesiankan kau. Yelah, perempuan selekeh macam kau, siapalah nak berkawan,” aku tergamam dengan kata-kata yang keluar dari mulut Hariz.
Ini bermakna, persahabatan yang terbina selama 5 tahun, hanyalah palsu. Oh Tuhan! Apakah salahku hingga Kau menghukum aku sebegini? Aku hanya bertepuk sebelah tangan. Aku terduduk di situ. Hanya mampu melihat Hariz mula mengatur langkah meninggalkan aku. Bagaimana aku nak menghadapinya nanti? Aku malu. Cukup malu!
“Hariz, kalau itu keputusan kau, aku minta agar gambar-gambar aku yang ada pada kau, kau serahkannya kepada aku,” dalam tangisan, aku masih mengatakan sesuatu kepadanya. Untuk apa dia menyimpannya andai hubungan persahabatan ini hanya palsu.
“Gambar? Gambar apa pulak ni? Bila masanya pulak aku simpan gambar kau? Hello! Sekeping pun tak ada gambar kau dengan aku selama ni. Tolonglah perempuan, jangan nak perasan!”
Kalau dia tidak menyimpannya, ke mana semua gambar itu pergi? Semenjak kejadian itu, kami tak lagi bertegur sapa. Malah, Hariz seperti terlalu membenciku. Kawan-kawan kami mula perasan kedinginan antara aku dengan Hariz. Manakan tidak, selama ini kami selalu bersama walau Hariz sudah punya teman istimewa. Kami sahabat baik. Tak pernah bergaduh. Tapi kini, hatiku hancur. Lebih hancur apabila banyak khabar yang mengatakan aku dan Hariz sudah tidak akrab kerana aku cintakan Hariz. Semua mengejekku. Menghina aku kerana aku tidak sepadan dengan Hariz malah mana-mana lelaki sekalipun tak inginkan aku kerana aku bukanlah perempuan idaman mereka. Aku selekeh, tidak cantik, gemuk. Becca. Rebecca Abdullah Tan. Perempuan yang paling cantik, bijak, dan menggoda. Sedang aku? Terlalu jauh bezanya. Malah, segala yang buruk itu ada padaku. Begitu sekalikah mereka menilai aku selama ini?  Aku pasrah.
Hanie menenangkan aku. Hanya Hanie tempat aku mencurah masalah. Hanya Hanie yang sudi menjadi kawanku. Tidak putus-putus Hanie memujukku. Menenteramkan aku. “Tuhan itu maha adil, Rin. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmah yang kita tak tahu. Mungkin ini cabaran buat kau, agar lebih tabah. Kau harus bangkit. Buktikan pada mereka semua, apa yang dilemparkan kepada kau tu tak betul. Mereka salah. Buktikannya Arina,”dan kata-kata Hanie itulah yang membuatkan aku bangkit kembali dan aku sedar yang aku tak pernah keseorangan selama ini.
******************************************************************
Irama lagu pastikan nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza mematikan segala kenangan lamaku terhadap Hariz. Kulihat nama yang terpapar di skrin nokia N-95 milikku. “hai Hanie! Kau rindukan aku ke sampai waktu macam ni kau tak tidur lagi?Biasanya, kat asrama dulu kaulah orang pertama yang akan tidur sebaik balik dari kelas malam. Apa kau buat sampai pukul 1 pagi ni?” bertubi-tubi pertanyaanku kepada Hanie sambil jemariku mengesat sisa airmata yang mengalir sewaktu kenangan lama menerpa sebentar tadi. Aku tahan getar suaraku, agar tidak terkesan olehnya yang sebentar tadi aku menangis lagi. “Alah, tu dulu. Sekarang mana boleh aku tidur awal. Sejak ada anak kecik ni, aku dah tak boleh nak tidur awal. Kejap-kejap si Izzah ni terjaga. Baru aku tau, betapa susahnya kahwin,” jelas kedengaran ketawa di akhir bicaranya. Aku hanya tersenyum. Hanie cukup bahagia. Aku cemburu,Hanie.
“Eh,aku call ni sebab aku nak tanya. Esok kau jadi pergi ke tak?”
Wajahku jelas berubah. Mujur Hanie tidak berada di depanku ketika ini kerana aku tidak mahu dia melihat wajahku yang jelas pucat dengan lontaran soalannya tadi. “Aku rasa aku tak nak pergilah, Hanie. Kau pergi ajelah. Aku banyak kerja esok,”terangku cuba berdalih. “Rin, kau tak payah nak buat alasan sibuk. Apa lagi yang kau nak kejar? Kau kan interior designer terkenal. Tambahan pulak kau tu bos,bukannya kuli. Ramai lagi orang yang boleh handle segala kerja kau kat pejabat tu. Lupakan apa yang dah Hariz lakukan terhadap kau,Rina. Dah lama sangat perkara tu berlaku. Dah 5 tahun. Please, datang demi aku. Kau anggap aku kawan kau, kan?”
Aku terjerat dengan kata-kata Hanie. Ya, aku sayangkan Hanie. Dialah satu-satunya kawan yang memahami aku selama ini. Bukan sehari dua kami kenal, tapi sudah sepuluh tahun. “Rin, aku harap sangat kau datang esok. Eh, oklah ya.Izzah menangis tu. Nak susu agaknya. Good night,Rin. Sweet dream.”
Oh Tuhan! Berikanlah aku petunjuk. Hanya kepada Kau aku berserah.

******************************************************************
Dewan Hotel Sutera Inn mula dipenuhi. Dewan kelihatan begitu cantik setelah dihias oleh petugas-petugas hotel. Hampir semua pelajar SMKP 99-03 sudah tiba. Ada yang datang berseorangan, ada yang datang berteman, sama ada dengan kekasih hati mahupun suami atau isteri. Cuma, Rina yang tak pernah datang ke majlis reunion yang diadakan 2 tahun sekali.
Adam melangkah kaki ke dewan di mana ramai kawannya berada. Di wajah masing-masing jelas terpancar kegembiraan kerana sudah lama tidak bertemu begini. Gadis yang masih disisi Adam tetap setia menemani. Tetap melempar senyum walau mereka semua tidak mengenali gadis itu. “Hariz, aku nak kenalkan seseorang kepada kau,” Adam memulakan bicara setelah mendapatkan Hariz yang sedang leka berbual bersama Becca. Hariz menoleh. Senyumannya mati tatkala melihat seorang gadis yang cukup mempesona berdiri disisi Adam. Cantik! Sungguh cantik. Lebih cantik dari Becca, teman wanitanya. Tinggi lampai, berkulit cerah. Baju kurung moden warna merah yang dipakainya amat sesuai dengan dirinya yang begitu cantik. Tudung yang dipakai tetap tidak menjejaskan kecantikan gadis itu. Sedondon dengan Adam yang turut mengenakan kemeja berwarna sedondon.
“Hariz, Becca, aku kenalkan ni tunang aku.” Lamunan Hariz terhenti. Hancur hatinya tatkala mengetahui gadis cantik itu tunangan kawan baiknya sendiri. ‘Ah, melepas aku.’ Bisik hatinya.Adam perasan mata Hariz tak lepas memandang tunangnya. Dia tahu apa yang terbuku di hati Hariz ketika itu. Mungkin kalau gadis di sebelahnya itu bukan tunangannya, sudah tentu Hariz akan menggodanya.Dia kenal Hariz. Kenal sangat.
“Pandai kau cari. Sepadan dengan kau. Tapi, sampai hati kau. Selama ni, tak pernah kau bagitahu aku kau dah bertunang. Tapi hari ni, tup-tup kau dah ada tunang.” Hariz berbahasa. Adam hanya tersenyum. “ Kami buat majlis ringkas je,hanya keluarga terdekat. Nanti kami kahwin, aku jemput kau.”
Anyway, aku nak naik pentas kejap. Ada pengumuman yang aku nak buat. Excuse us,” Adam berlalu bersama tunangnya. Mata Hariz masih tertancap kepada gadis yang dikatakan tunang Adam itu. Dia seolah-olah kenal dengan mata itu. Juga dengan sepasang lesung pipit milik gadis itu. Seolah-olah sudah terbiasa dengan lirikan mata dan lesung pipit itu. Tapi, dimana? Bila? Siapa?
“Assalamualaikum. Friends, may I have your attention please. Aku sebenarnya ada pengumuman nak buat. Harap korang semua gembira mendengarnya nanti.” Adam berhenti seketika. Pada masa yang sama, Hariz masih memikirkan soalannya tadi. Dia rasa, dia kenal perempuan itu. Tapi, tak mungkin. Tak mungkin itu adalah perempuan yang pernah menjadi kawannya suatu ketika dahulu. Gadis tadi begitu cantik dan sempurna. Jauh bezanya dengan gadis yang suatu ketika dulu pernah menaruh hati kepadanya.
“ Aku nak kenalkan, ini tunang aku. Insya Allah, tak lama lagi kami akan berkahwin dan kamu semua dijemput hadir.” Serentak dengan itu, seluruh dewan bergema dengan tepukan yang begitu gemuruh kepada Adam. “Kad-kad undangan akan diedarkan sebentar lagi. Hanie, tolong mula edarkan kad,” Adam melihat sepintas kepada Hanie. “ Oh, ya! Aku nak biar Hariz yang dapat dulu sebab dia kawan baik aku.”Hanie mengangguk sambil menguntum senyum. Kad gabungan warna merah dan ungu itu diserahkan kepada Hariz. Hariz hanya tersenyum. Sebaik dia melihat nama pasangan yang tertera di kad itu, dia terpempan. Senyumannya mati.
“Kawan-kawan, aku kenalkan tunang aku dan bakal isteri aku, Arina Wardah Bt. Majid.” Semua yang berada di situ terkejut. Jelas di wajah mereka yang mereka tidak percaya gadis yang begitu cantik di atas pentas itu adalah Arina Wardah. Gadis yang mereka hina suatu masa dahulu. Gadis yang dikatakan paling hodoh. Gadis yang menaruh hati kepada Hariz Danial.
“Rin, your turn,” Adam berundur, memberi ruang kepada Arina untuk bercakap sepatah dua. Adam tahu, banyak yang perlu diperkatakan oleh Rin ketika ini.
Thanks to Am. Kalau bukan kerana Am, saya takkan berdiri di atas pentas ini. Tak mungkin saya berpeluang menemui kawan-kawan lama saya yang sangat saya rindui. Kerana Am, saya kuatkan diri dan hadir ke majlis ini untuk pertama kali. Well, tak ada apa yang perlu saya katakan,cuma saya harap anda semua sudi hadir ke majlis perkahwinan kami nanti. Dan, doakanlah agar kami bahagia ke akhir hayat.” Kata-kataku terhenti di situ. Aku tidak mahu mengingati lagi kenangan lama. Walau masih ada dendam dihati, namun aku telah usirnya jauh. Jauh sehinga aku tidak ingin mengingatinya lagi. Sebuah senyuman aku lemparkan kepada mereka, tanda aku tidak lagi mendendami mereka. Aku benar-benar ikhlas.
Ucapan tahniah bertubi-tubi kami terima. Alhamdulillah, mereka telah menerima aku. Sewaktu aku dan Adam Baizid menghampiri Hariz Danial, jelas dia masih terkejut dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Becca disisi mula mencebik. Aku malas mahu meneka apa yang bermain di fikirannya ketika itu.
“Rin, aku minta maaf. Aku tahu aku salah. Aku pun sayangkan kau,Rin. I’m your first love, I know you still love me. Please, come back to me. Aku tahu kau masih cintakan aku lagi,kan?” aku terkejut dengan kata-kata Hariz. Jelas kini dia yang merayu kepadaku. Aku genggam erat tangan Adam Baizid. Aku ingin dia tahu, walau apa yang berlaku, aku tetap sayangkan dia.
“Hariz,benar kau cinta pertama aku.Cinta pertama memang sukar dilupakan.Tapi tak bermakna aku perlu hidup dengan cinta pertama andai aku dilukai. Cinta kedua yang hadir, ternyata cukup bermakna untuk aku. Cinta kedua yang meniupkan kembali nafas aku yang pernah terhenti tatkala diluka oleh cinta pertama. Hariz, aku minta maaf. Hati aku hanya satu. Dan hati aku hanya untuk Adam. Setelah apa yang berlaku antara kita dulu, aku sangat kecewa. Teramat kecewa. Saat kau membuang aku, Adam tetap disisi aku. Dia tak pernah buang aku dari hidupnya.”

**********************************************************************
“Adam, kenapa Hariz buat aku macam ni. Sampai hati dia,Am. Aku sayangkan dia,tapi…” aku tidak mampu untuk menghabiskan kata-kataku. Aku terlalu sebak. Airmata yang mengalir sedari tadi, masih laju membasahi pipiku. Adam berada disisiku selepas Hariz meninggalkan aku di Taman Mesra Alam. Selepas aku meluahkan perasaanku yang sebenar terhadap Hariz.
            Adam hanya senyum. “Menangislah Rin, kalau itu akan membuatkan kau lega. Aku akan setia menemani kau selagi aku bernafas. Aku nak kau tahu, kau tak pernah keseorangan. Hariz mungkin  buang kau, tapi aku takkan buang kau sebab aku sayangkan kau. Aku tahu kau cintakan Hariz, sayangkan Hariz. Bukan niat aku untuk menambah luka dihati kau,Rin. Aku tak kisah kalau kau tak boleh terima aku. Aku redha. Tapi berilah aku peluang untuk aku buktikan yang aku benar-benar cintakan kau selama ini.”
            Aku terpana dengan kata-kata itu. Di saat Hariz melukaiku, Adam hadir memberi cinta. Ikhlaskah dia? “Am, aku tak cantik. Aku tak layak untuk lelaki sehebat kau. Malah, untuk mana-mana lelaki sekalipun.”
            “ Itu kata Hariz, bukan aku. Aku minta maaf, aku dengar apa yang kau bualkan tadi. Tapi Rin, aku nak kau tahu yang aku memang ikhlas dengan kau. Siapa kata kau tak cantik? Cantik tu subjektif. Cantik bukan saja dari segi paras rupa, tapi segala-galanya. Bagi mereka,kau mungkin kurang cantik dari paras rupa,tapi aku tahu kau terlalu cantik dari segi lain.Aku yakin kau akan melengkapi hidup aku. Aku dah buat solat istikharah,Rin. Dan aku nampak kau dalam petunjuk aku. Aku yakin, kau memang diciptakan untuk aku!”
            Adam menghulurkan sesuatu kepadaku. Dia meminta aku membukanya selepas tamat peperiksaan SPM nanti. Dan segala persoalanku terungkai. Dalam album gambar berwarna ungu itu menunjukkan ke mana gambar-gambar yang aku sangkakan selama ini berada dengan Hariz, sudah terjawab!
“Rin, please. Aku tahu aku salah dulu. Beri aku peluang, Rin,” Hariz masih setia merayu, mematikan lamunanku.
“Tidak,Hariz. Aku minta maaf. Tapi aku bukan untuk kau. Aku milik Adam Baizid. Walau apa yang berlaku, hati aku tetap takkan berubah. Aku cintakan Adam lebih dari aku cintakan diri aku sendiri. Aku tak boleh hidup tanpa Adam. Kalau bukan kerana Adam, aku tak mungkin akan berjaya seperti sekarang. Adam yang menjadi semangat aku selama ini. Doakan kebahagiaan kami,Hariz.”
Aku genggam erat tangan Adam dan kami sama-sama melangkah meninggalkan  dewan. Cukuplah apa yang berlaku. Adam senyum memandangku. Terima kasih, Tuhan. Kau telah berikan aku anugerah yang cukup bernilai. Sesungguhnya, Adam Baizid memang diciptakan untuk melengkapkan hidup Arina Wardah.





Titisan tinta,
Maizatul Akma

No comments:

Post a Comment